Minggu lalu pada hari Jumaat, kami sekeluarga bermalam di rumah Athir dan Suraya. Athir adalah salah seorang PA kepada seorang Menteri Penasihat di kedutaan kita, berasal dari N9 dan isterinya Suraya berasal dari Yan, Kedah. Persahabatan terjalin erat di antara kami warga Malaysia di sini. Sentiasa ada undangan untuk menghadiri pelbagai majlis dan kadang kala sekadar untuk sarapan atau makan malam untuk mengeratkan silaturrahim. Alhamdulillah, dapat juga merasa masakan Melayu yang sukar didapati di kawasan Mohandissine ini.
Athir dan isteri juga banyak membantu dan memberi sokongan kepada kami seperti Fauzi, Huda dan rakan-rakan lain di sini. Petang Jumaat itu, Syamsul datang mengambil kami di kedutaan dengan kereta BMW nya. Rupanya petang itu, ada majlis ringkas menyambut harijadi Fauzi yang ke-30. Kami dijamu dengan kek mangga dan malamnya dijamu pula dengan nasi berlauk ayam masak lada hitam, ikan goreng dan sayur. Lama juga kami berbual dan lewat malam baru Fauzi, Huda, Syamsul dan isteri beransur pulang. Kami bermalam di rumah Athir.
Pagi esoknya, kami menaiki teksi ke pasar basah di Sayeeda Zainab. Pasar ini terletak dalam kawasan yang dikenali sebagai Islamic Cairo kerana ini adalah kota 'Medieval' yang masih digunakan sejak zaman Fatimids, Ayubbid, Mamluks dan juga Ottoman. Jelas sekali dapat dilihat cebisan peninggalan kegemilangan Islam di zaman dahulu kala. Bangunan-bangunan di sini banyak yang usang dan penuh sesak. Aku di dalam teksi mencari-cari 'masyrabiyya' iaitu beranda kayu yang dibina seperti satu skrin khas untuk wanita melihat keluar rumah sewaktu buruk hitam putih menyusuri jalan yang diapit oleh warisan lama Cairo ini. Binaan ini unik bagi Islamic Cairo sewaktu zaman kegemilangannya.
Setelah beberapa ketika, kami tiba di pasar Sayeeda Zainab. Kami menyusuri ,lorong sempit berdebu dan berasak-asak dengan orang yang keluar dan masuk ke pasar itu. Kami berhenti sejenak untuk membeli beg pasar dan selipar untuk Ida dan Jasmine. Lebih kurang macam pasar malam di Malaysia dan harganya juga murah. Namun, keadaannya agak berselerak dan kotor. Niat dihati ingin membeli gugusan anggur Mesir yang manis, tapi setelah melihat kerumunan lalat yang hinggap di atas buah-buahan hampir menyamai dengan jumlah anggur yang dijual, aku membatalkan niat!
Lebih kurang 1 jam setengah di situ, kami beredah pulang dengan beg yang berisi ayam, ikan, udang, ketam dan sayur penuh di tangan. Ikan kat sini pelik-pelik sikit. Ikan macam kerapu, siakap dan lain-lain ikan yang ada kat Malaysia juga ada tetapi kebanyakkannya diimport dari Thailand. Ikan keli ada dijual, tapi semuanya keli afrika yang sebesar lengan aku. Tak lalu nak makan. Akhirnya kami buat keputusan untuk beli ikan tamban. Lain sikit ikan tamban di sini berbanding tamban di Malaysia di mana sisiknya lebih banyak dan tebal, tapi rasanya sama sebab aku dan sahkan bila semalam Ida buat sambal ikan.
Orang cakap kalau nak seronok duduk di Cairo, you must experience Cairo like the locals do...tapi bagi kami, dalam bab makanan, maybe not yet. Tak boleh nak telan lagi...
Jasmine makin gendut dan rambutnya makin panjang. Hidungnya pun dh makin kembang...macam Abang Hafiz. Nanti bila ada kelapangan dan peluang, kami akan upload gambar terbaru di laman blog ini.
Sampai jumpa lagi.